KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Jumaat ini untuk membuat keputusan sama ada membenarkan permohonan The Edge Communications Sdn Bhd untuk menangguhkan pelaksanaan perintah penggantungan dua penerbitan selama tiga bulan, oleh Menteri Dalam Negeri.
Hakim Datuk Asmabi Mohamad menetapkan tarikh itu di dalam kamar hari ini selepas mendengar hujahan peguam Darryl Goon mewakili The Edge Communications Sdn Bhd dan Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke mewakili Kementerian Dalam Negeri.
The Edge Communications Sdn Bhd memohon penangguhan perintah penggantungan itu sementara menunggu sehingga selesainya semakan kehakiman bagi membatalkan perintah penggantungan selama tiga bulan dari 27 Julai.
Loke memberitahu pemberita, dalam hujahannya beliau memberitahu hakim bahawa pemohon belum lagi mengemukakan sebarang alasan yang jelas atau meyakinkan bagi penangguhan itu dibenarkan, sehingga prosiding semakan kehakiman selesai.
Katanya penangguhan akan mengetepikan penguatkuasaan keputusan menteri yang menggantung sementara penerbitan The Edge Malaysia dan The Edge Financial Daily.
Pada 5 Ogos, The Edge Communications Sdn Bhd berjaya memperoleh kebenaran bagi semakan kehakiman berhubung penggantungan dua penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri.
Bagaimanapun, Hakim Asmabi menolak permohonan syarikat itu untuk penangguhan sementara penggantungan kedua-dua penerbitan itu sehingga permohonan inter-parte didengar.
Pada 27 Julai lepas syarikat penerbitan itu memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Ketua Setiausaha KDN dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden.
The Edge Communications Sdn Bhd telah memohon diberi kebenaran untuk memulakan prosiding di bawah Aturan 53 Kaedah 3 Kaedah-kaedah Mahkamah 2012 bagi mendapatkan perintah certiorari supaya mahkamah menolak keputusan Menteri Dalam Negeri.
Syarikat penerbitan itu turut memohon suatu perintah interim untuk penggantungan pelaksanaan keputusan sehingga penyelesaian pendengaran permohonan dan kos.
Menteri Dalam Negeri dalam surat bertarikh 23 Julai lepas yang ditandatangani oleh Hashimah Nik Jaafar bagi pihak menteri, telah memaklumkan kepada syarikat itu penggantungan permit penerbitan kedua-dua penerbitan itu.
Berdasarkan surat yang dihantar kepada editor kanan pengurusan syarikat itu, Ahmad Azam Mohd Aris, kementerian memaklumkan bahawa laporan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh The Edge adalah memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan dan kepentingan negara.
Ia juga menyatakan sekiranya gagal mematuhi arahan penggantungan, tindakan pembatalan permit terhadap kedua-dua penerbitan itu akan diambil.
Mahkamah menetapkan 7 Sept untuk mendengar permohonan semakan kehakiman itu. – BERNAMA