KEMAMAN – Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan pada bot yang dinaiki empat nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Kemaman kira-kira dua bulan lepas.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hashim Abdul Jalil berkata siasatan terhadap bot tersebut tidak menemui sebarang tanda yang meragukan termasuk kesan pelanggaran seperti yang didakwa nelayan tempatan.
“Kita tidak menolak kemungkinan bot itu karam ekoran cuaca buruk dan ombak besar ketika cuba memasuki muara Kuala Kemaman,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Bot tersebut ditemui sekumpulan nelayan kira-kira sembilan batu nautika dari Kuala Kemaman pada 28 Julai selepas pukat mereka tersangkut pada tali sauh bot yang tenggelam itu.
Katanya susulan penemuan itu, kerja menunda dan mengapungkan bot telah dilaksanakan pada awal Ogos bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
Dalam kejadian 21 Jun lepas, empat nelayan dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan di perairan Kemaman kira-kira pukul 6 pagi.
Mangsa terdiri daripada Azuari Muda@Abu Bakar, 41; Mohd Zawawi Seman, 36; Mohd Nasri Ab Wahab, 29; dan Ab Wahab Tekak, 57, kesemuanya berasal dari Kemaman.
Mayat Mohd Zawawi ditemui terapung kira-kira 17 batu nautika dari perairan Pulau Kapas pada 4 Julai.
Sementara itu, pada 30 Julai lalu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Dearah Maritim 9 Kuala Terengganu menemui mayat tanpa identiti yang terapung kira-kira 12 batu nautika tenggara dari Pulau Kapas, Marang.
Hashim berkata pihaknya masih menunggu DNA mayat tersebut bagi mengetahui identitinya. – BERNAMA