KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengkritik sikap segelintir pemimpin yang diibaratkan sebagai lalang dalam berhadapan isu-isu semasa dalam negara.
Baginda bertitah, pemimpin ibarat lalang ditiup angin itu akan berubah pendirian apabila mendapati pemimpin tertinggi mereka mula kurang disenangi sebahagian rakyat.
Sehubungan itu, baginda memuji Menteri Besar Johor. Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kerana berani mempertegakkan kebenaran dan masa depan Johor.
“Saya memuji seikhlasnya usaha Menteri Besar Johor dalam mempertegakkan kebenaran dan masa depan negeri Johor.
“Usaha beliau sepatutnya dijadikan contoh kepada pemimpin-pemimpin lain. Janganlah menjadi seperti sesetengah individu yang sanggup menggadaikan prinsip demi kepentingan peribadi.
“Janganlah juga menjadi seperti sesetengah orang yang pada mulanya hanya memuji melambung tinggi sesetengah pemimpin, tetapi apabila melihat rakyat tidak berpuas hati, berubah pula pendirian bagai lalang ditiup angin,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Baginda dalam pada itu mengingatkan orang ramai supaya memilih dalam kalangan mereka yang layak, bijaksana dan telus supaya tidak memalukan dan menjadi bahan jenaka rakyat.
Mohamed Khalid baru-baru ini mengumumkan UMNO Johor sebulat suara menyatakan sokongan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan segala kemelut yang melanda. – mynewshub.cc