KUALA LUMPUR – Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) mengakui pelbagai isu dalam negara yang dibangkitkan oleh pemimpin parti-parti pembangkang termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antara penyumbang utama kepada kejatuhan nilai ringgit.
Ketua Penerangan DUPP, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali At-Takiri berkata senario nilai ringgit bertambah rumit dengan pelbagai spekulasi dan provokasi yang wujud dalam negara sendiri akibat kegagalan kerajaan menepis dengan baik tohmahan pembangkang.
“Penganalisis ekonomi sepakat kejatuhan 38 peratus harga minyak mentah Brent sejak Jun 2014 lalu memberi kesan sangat besar kepada kejatuhan nilai Ringgit memandangkan minyak merupakan salah satu bahan eksport utama negara.
“Pengukuhan nilai dolar AS berikutan kemungkinan Rizab Persekutuan Amerika (US Federal Reserve) menaikkan kadar faedah pada September ini terus memacu permintaan terhadap dolar AS justeru memberikan tekanan kepada ringgit. Kejatuhan matawang yuan, China juga memberikan tekanan kepada ringgit.
“Pun begitu, isu pertikaian ke atas hutang 1MDB dan cara penyelesaiannya, isu aliran wang yang sangat besar dari luar ke akaun peribadi Perdana Menteri dan skandal tuduhan rasuah dalam pembelian bangunan Dudley House oleh MARA Inc. yang menarik perhatian antarabangsa kepada Malaysia tidak dapat dinafikan telah menjatuhkan keyakinan antarabangsa terhadap ringgit,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Mohd. Khairuddin berharap pembangkang walaupun berselisih dengan kerajaan dalam banyak isu dan agenda tidak harus bersikap keterlaluan apabila berkait dengan perkara yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat.
“Tidak cukup dengan bacaan untuk menyelamatkan survival politik masing-masing sebagai asas bertindak, bacaan terhadap geopolitik antarabangsa juga harus dibuat pertimbangan bagi memastikan negara kita terus berdaulat,” katanya. – mynewshub.cc