SEJAUH manakah keselamatan anak-anak anda dijamin? Adakah tugas anda sebagai ibu bapa dalam memantau gerak-gerik mereka sudah cukup berkesan? Apakah anda semua tahu siapa kawan mereka di media sosial?
Video kajian sosial mengenai pengaruh rakan sebaya menerusi media sosial ini ternyata membuka mata setiap ibu bapa yang menontonnya.
Baru dimuat naik dua hari lalu, video tersebut telah meraih jumlah tontonan hampir 20 juta. Ini membuktikan begitu mudahnya gejala pemerdagangan serta kes penculikan kanak-kanak di bawah umur dilaksanakan.
Dengan menggunakan identiti palsu di laman sosial Facebook, tiga orang kanak-kanak yang telah disasarkan ini jelas terpengaruh dan boleh menjadi mangsa golongan pedofilia, penculik serta pembunuh di luar sana.
Kajian sosial ini dijalankan oleh bintang Youtube terkenal, Coby Persin, yang meminta izin daripada ibu bapa mangsa untuk mendekati anak-anak mereka.
Melalui video viral ini, kesemua mangsa dilihat begitu mudah percaya dan terpengaruh dengan rakan yang baru dikenali mereka 4 hari lalu.
Mereka juga telah mendedahkan butir-butir penting seperti alamat rumah kepada orang yang tidak dikenali itu.
Jelas ibu bapa mangsa yang disasarkan tersebut tercengang dengan tindakan anak-anak mereka walaupun dikatakan telah memberi amaran dan nasihat sebelum itu.
Nilaikan sendiri, tidak kira sama ada di luar negara atau di dalam negara, potensi untuk perkara sebegini berlaku dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia juga ternyata tidak mustahil.ĆāĆĀ – MYNEWSHUB.CC