VIDEO rakaman demonstrasi mempertahankan diri daripada Kumpulan Anti Bersih 4.0 yang menjadi viral sejak dua hari lalu kini menjadi bahan sindiran di media sosial.
Menerusi video yang dimuatnaik oleh Samad Maccaboy di laman Youtube, visual tersebut telah disunting menjadi satu babak parodi superhero menerusi rancangan kegemaran kanak-kanak `Power Rangers’.
Wajah empat lelaki yang dilihat sebagai watak utama di dalam video tersebut telah digantikan dengan topeng ahli Power Rangers dan tidak terkecuali juga wajah Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah.
Menerusi video tersebut, kesemua mereka telah dilakonkan dengan aksi seolah menerima kuasa untuk agar menjadi lebih hebat.
Kedengaran bunyi kesan khas tendangan dan pukulan peserta di mana ia membuatkan video tersebut bukan sahaja  menarik, malah agak lucu.
Pada Selasa lalu, kumpulan Anti Bersih 4.0 telah mempamerkan aksi ekstrem dengan mempamerkan demonstrasi mempertahankan diri sebagai persediaan berhadapan dengan peserta Bersih 4.0.
Walaubagaimanapun, kumpulan tersebut yang diketuai Datuk Jamal Md Yunos ini juga baru-baru ini telah diberikan amaran daripada pihak berkuasa untuk tidak meneruskan perhimpunan.
Namun mereka dikatakan masih tetap untuk meneruskan demonstrasi yang dikatakan akan dianggotai seramai 30,000 ahli berbaju merah pada Sabtu ini di Dataran Merdeka.-Mynewshub.cc
Oleh: hzq