PERKHIDMATAN Uber telah dilancarkan pada tahun lepas di mana servis ‘pemandu peribadi’ ditawarkan kepada pengguna sebagai alternatif kepada perkhidmatan teksi.
Segala proses tempahan boleh dilakukkan hanya menggunakan sebuah aplikasi untuk peranti mudah-alih dan tidak sampai 5 minit sahaja, pemandu segera anda akan muncul.
Ini membuatkan rakyat Malaysia memilih menggunakan perkhidmatan Uber memandangkan ia lebih mudah, selamat dan mesra pelanggan.
Baru-baru ini, pihak AutoBuzz.my dan Uber telah bekerjasama dalam memberi kejutan kepada pengguna perkhidmatan tersebut apabila para pelanggan yang bertuah berpeluang menaik kereta mewah jenis McLaren MP4-12C sebagai ‘teksi peribadi’.
Kru AutoBuzz.my dalam satu projek terbaharunya telah menyamar sebagai pemandu Uber yang kononnya membawa kereta jenis Perodua Myvi.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik pada 5 Ogos lalu, kru tersebut yang dikenali sebagai GC memandu kereta mewah berwarna ungu berkenaan mengambil beberapa penumpang bertuah yang menghubunginya untuk mendapatkan perkhidmatan teksi.
Ternyata, beberapa penumpang tersebut kelihatan begitu teruja apabila dapat merasai pengalaman menaiki kereta mewah yang asalnya hanya diketahui sebagai kereta Perodua Myvi.
Difahamkan, AutoBuzz menjalankan projek tersebut bertujuan untuk memberi kejutan, selain mengukir senyuman kepada rakyat Malaysia.
Sehingga kini, video tersebut ditonton lebih 154, 000 pengguna di saluran Youtube.-MYNEWSHUB.CC
Oleh: hzq