KATA pakar tentera, untuk tahu hebat atau hancur anggotanya, lihatlah siapa ketuanya. Mungkin analogi itu sesuai dijadikan perbandingan dalam sains politik iaitu kekuatan pemimpin mesti kerana ramai penyokongnya.
Mereka ini ibarat wira tak berdendang yang sanggup berkorban apa sahaja hatta nyawa dan harta demi perjuangan suci parti siasah, waima terpaksa meninggalkan keluarga dan kampung halaman nun jauh di hulu pedalaman.
Namun, sesuatu yang menarik diperkatakan mengenai perhimpunan jalanan haram Bersih 4.0 kali ini ialah kurangnya sambutan pelbagai pihak setelah Pas memberi ‘fatwa’ melarang keras ahlinya untuk sama turut serta.
Tinjauan menerusi media sosial mendapati Bersih 4.0 bukan sahaja kurang popular, malah ada pula penyokong pembangkang memperlekeh demonstrasi kononnya untuk memastikan proses pilihan raya berjalan bersih.
Kelakarnya jika tidak bersih seperti didakwa penganjur Bersih, bagaimana pula kemenangan besar pembangkang di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) lalu, itu pun kiranya tidak bersih jugalah!
Baca: Pas Tak Sertai Bersih 4.0 – Tak Setuju Huru-Harakan Negara!
Bagaimana pula kebersihan beberapa pilihan raya kecil yang berlangsung dimenangi calon pembangkang seperti di Permatang Pauh dan Kajang iaitu isteri Anwar Ibrahim, Wan Azizah Wan Ismail sendiri, adakah ia memang kotor?
Juga macam mana Nurul Izzah menang di Lembah Pantai pada PRU 2013 akhirnya terbukti akibat fitnah anak Anwar itu terhadap calon BN yang juga Menteri Wilayah Persekutuan waktu itu, Raja Nong Chik Zainal Abidin?
Jelaslah mereka sendiri pun hipokrit dan lebih dahsyat, penganjur Bersih itu bukan organisasi sah di bawah undang-undang kerana tidak pernah selama ini berdaftar dengan pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Tidak hairanlah, kali ini penganjur Bersih sudah dapat merasai bahang ‘kelesuan’ Bersih 4.0 apabila promosi acara haram itu di Dataran Penggaram, Batu Pahat, Johor pada Rabu gagal dapat sambutan seperti mana diharapkan.
Dengan majoriti hampir 100 peratus adalah kaum Cina, sebahagian besar yang datang itu pun sebab hendak melihat aksi ‘gedik’ serta ‘iklan percuma’ wanita seksi Tionghua memakai baju-T Bersih 4.0 berwarna kuning.
Baca: Pas Tegur Bersih 4.0 Ancam Kestabilan Negara
Jika itulah gambaran awal, sudah dapat dibayangkan keadaan sebenar Bersih 4.0 pada hari diuar-uarkan itu, bahkan di media sosial, ada berjenaka dakwa ia mungkin jadi perhimpunan kaum Cina lawan kerajaan Melayu!
Berbeza tiga kali himpunan Bersih, majoriti peserta adalah Melayu, namun dengan tindakan Pas ‘mewartakan’ larangan keras selain parti itu sendiri sibuk jadual padat sempena Hari Kebangsaan, senario dijangka berubah.
Amaran tegas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sudah jelas menampakkan tanda-tanda awal kegagalan Bersih 4.0 yang dapat diramalkan secara congak kiraan mudah.
Ada berseloroh berkata, Bersih 4.0 kali ini lebih ramai berwajah kuning langsat daripada sawo matang tetapi ada langsung berkata, kaum yang itu pun ‘tidak berani’ turun di jalanan kecuali ada kelibat ramai penyokong totok Pas.
Hakikatnya, ingatlah kepada semua ahli parti Islam tersebut, kedua-dua tuan guru anda bahkan sebahagian besar saf kepimpinan Pas tidak sokong Bersih 4.0, waima mereka tidak pula bersekutu dengan parti BN atau UMNO.
Baca: Lawak Bodoh! Anwar Isytihar 30 Ogos Hari Terakhir Kerajaan BN!
Insaflah bagaimana Abdul Hadi selama ini dihina biadap DAP macam sampah sehingga tergamak hasut ahli Pas ‘menumbangkan’ beliau menjelang pemilihan pada muktamar tahunan parti di Kuala Selangor baru-baru ini.
DAP gagal dan ini jelas membuktikan Pas memang bermaruah ada prinsip jati diri selain manifestasi permusuhan ketara dengan DAP bukan lagi rahsia, biarpun Abdul Hadi sering dihina dan dikutuk DAP sejak zaman dulu lagi.
Wahai ahli Pas, ingatlah janji wala’ anda kepada parti sendiri! Usah gadai nilai harga anda bersekongkol dengan musuh Pas yang menghancurkan Pakatan Rakyat, siapa lagi kalau bukan DAP. Wallahu a’lam. – Mynewshub.cc