KUALA LUMPUR – Seorang warga emas dihukum penjara 15 hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencederakan ibunya yang berumur 81 tahun.
Majistret Nur Azura Murah menjatuhkan hukuman itu ke atas M. Silavan, 62, seorang penganggur, kerana mencederakan V. Sarojini dengan memukul kepala wanita itu menggunakan besi kikir menyebabkan kepala mangsa bengkak.
Silavan didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Wangsa Maju di sini, kira-kira 1.30 petang pada 2 Ogos lepas.
Kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak memukul kepala ibunya selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.
Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara 15 hari ke atas tertuduh selepas dia mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya dengan mengugut membunuh dan mengunci pintu pagar rumah mangsa pada tempat dan tarikh yang sama. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=Cz1CEVJesPQ