JOHOR BAHARU – Seorang lelaki warga emas yang lumpuh sebelah badan, maut dalam kebakaran di rumahnya di Jalan Cengal, Taman Nira dekat Batu Pahat, awal hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Timah Sari Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Md Nor berkata Juli Sukar, 72, meninggal dunia selepas terperangkap di dalam rumah tersebut.
“Bomba menerima panggilan kebakaran itu pada 2.05 pagi. Tiga jentera bomba bersama 24 anggota yang tiba di lokasi kejadian pada 2.12 pagi kemudian mendapati keseluruhan rumah terbabit sudah terbakar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mohd Fauzi berkata difahamkan ketika kebakaran bermula, Juli ada terdengar bunyi letupan pada meter elektrik di hadapan rumahnya.
Beliau berkata Juli sempat mengejutkan isterinya lalu mengarahkan wanita terbabit keluar dari rumah tersebut menerusi pintu belakang.
“Juli yang melihat ke bahagian hadapan (meter elektrik) kemudian gagal keluar dari rumah tersebut memandangkan api marak dengan cepat dalam masa lima hingga 10 minit,” katanya.
Mohd Fauzi berkata punca dan anggaran kerugian kebakaran itu sedang disiasat. – BERNAMA