PELABUHAN KLANG – Satu lagi mayat mangsa tragedi bot karam di perairan Sabak Bernam Khamis lepas, dijumpai petang semalam, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 64 orang.
Pengarah Operasi Maritim Daerah Klang Komander Maritim Mohamad Faaiz Mohd Nor @ Samah berkata berkata mayat lelaki dewasa itu ditemui pada kira-kira 6 petang di sekitar 52.3 kilometer atau enam batu nautika dari lokasi kejadian.
“Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat. Kita akan teruskan operasi mencari dan menyelamat hari ini bagi mencari saki baki mayat.
“Jika tiada lagi mayat ditemui, kita akan pertimbang sama ada untuk terus atau tamatkan operasi ini, tertakluk kepada arahan dari ibu pejabat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mohamad Faaiz berkata skop operasi pencarian yang masuk hari ketujuh hari ini kini tertumpu ke arah selatan iaitu dari perairan Sabak Bernam ke perairan Kuala Selangor menggunakan dua bot dan sebuah kapal milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Khamis lepas, bot sepanjang 40 kaki yang dinaiki warga Indonesia dipercayai pendatang asing tanpa izin itu karam ketika dalam perjalanan dari Kuala Sungai Bernam menuju Tanjong Balai, Indonesia.
Seramai 20 penumpang terselamat dalam kejadian itu. – BERNAMA