GEORGE TOWN – Sebanyak 17 buah motosikal yang diparkir di Flat 100, Jalan Sungai Pinang di sini hangus dalam kebakaran awal pagi tadi.
Pegawai Bomba Kanan II, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Roslan Ahmad berkata anggota bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memadam kebakaran yang dilapor pada pukul 4.43 pagi itu.
“Semasa bomba tiba, api sedang marak membakar motosikal-motosikal itu,” katanya.
Punca kejadian belum diketahui.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.
“Kami akan bekerjasama dengan pihak bomba untuk menjalankan siasatan sama ada kebakaran itu berunsur khianat atau sebaliknya,” katanya dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi pihak polis. – BERNAMA