IPOH – Dua penunggang motosikal maut selepas terlanggar trak milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di persimpangan lampu isyarat di Kilometer 30 Jalan Ipoh-Lumut, berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 petang semalam, Muhamad Zulfika Zulkifli, 22, maut di tempat kejadian manakala Mohd Nashrul Idlan Mat, 25, meninggal dunia di Hospital Changkat Melintang.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Aziz Hassan berkata kejadian berlaku apabila kedua-dua penunggang motosikal dari arah Ipoh menghala ke Lumut, gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat yang sedang menunjukkan lampu merah.
Pada masa sama, trak milik TLDM yang datang dari arah bertentangan sedang membuat ‘pusingan U’ di persimpangan berkenaan, katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
“Namun, tindakan kedua-dua motosikal itu tidak memberhentikan motosikal masing-masing menyebabkan seorang daripada mereka, Muhamad Zulfika melanggar trak berkenaan sebelum terperosok di bawah bahagian kiri kenderaan itu dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala seorang lagi penunggang, Mohd Nashrul yang cuba mengelak dengan membelok ke kiri jalan, melanggar pembahagi jalan sebelum terpelanting ke tengah jalan raya,” katanya.
Aziz berkata kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Changkat Melintang dan hasil bedah siasat mendapati mereka mengalami kecederaan serius di kepala dan dada.
Pemandu trak tentera itu, Ismail Abdul Razak, 42, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. – BERNAMA