KUALA TERENGGANU – Tiga wanita warga Thai yang bekerja sebagai pelayan kedai makan adalah antara 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam Op Ikrar kendalian Jabatan Imigresen Terengganu di sekitar bandar raya ini dari semalam hingga awal pagi tadi.
Ketua Penguatkuasa Jabatan Imigresen negeri, Ahmad Shalihin Salleh berkata ketiga-tiga wanita berusia antara 30 dan 40 tahun itu dikesan melakukan kesalahan mengikut Akta Peraturan Imigresen 39 (b) kerana melanggar syarat permit dan pas kerja.
Katanya dalam operasi yang bermula pukul 9 malam dan berakhir pukul 2 pagi itu, pihaknya telah menyerbu empat lokasi membabitkan kedai makan dan rumah kongsi di tapak pembinaan.
“Sepanjang operasi itu kita telah menahan tiga wanita, 16 lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Bangladesh berumur antara 18 dan 52 tahun kerana melakukan pelbagai kesalahan Imigresen,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Menurut Ahmad Shalihin, pihaknya juga turut mengeluarkan dua Borang 29 (Saman Saksi) masing-masing kepada seorang warga tempatan dan lelaki warga Bangladesh supaya hadir ke bahagian penguatkuasa bagi membantu siasatan.
Jelasnya kesemua PATI itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Operasi tujuh jam membabitkan 14 pegawai dan anggota, telah melakukan pemeriksaan ke atas 52 orang.
Beliau berkata mereka yang ditahan telah dibawa ke Depoh Tahanan Sementara Imigresen di Ajil untuk tindakan lanjut. – BERNAMA