TELUK INTAN – Empat lelaki cedera dalam kejadian tembak di sebuah restoran di Jalan Changkat Jong, di sini malam tadi.
Dalam kejadian itu kira-kira jam 7.30 petang, mangsa yang cedera adalah pelanggan restoran iaitu dua lelaki India berusia 37 dan 39 tahun serta seorang lelaki Cina berusia 52 tahun, manakala seorang lagi pekerja restoran warga Myanmar berusia 30 tahun.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada orang awam setengah jam kemudian.
“Siasatan awal mendapati suspek adalah dua lelaki yang memakai topi keledar berpenutup penuh dan menaiki sebuah motosikal sebelum pemboncengnya turun dan melepaskan beberapa das tembakan kepada mangsa dua lelaki yang sedang makan malam.
“Hasil siasatan menemui 10 butir kelongsong peluru jenis 9 milimeter dan kejadian turut mencederakan seorang pelanggan lain dan seorang pekerja restoran yang berada dalam premis berkenaan ketika itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, kecederaan dialami mangsa yang berusia 39 tahun adalah di tangan kiri, paha kiri dan perut, manakala mangsa berusia 37 tahun cedera di lutut kiri.
“Pelayan restoran warga Myanmar cedera di paha kiri dan seorang pelanggan lain berusia 52 tahun cedera luka di dahi dan mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Manjung, manakala mangsa lain di rawat di Hospital Teluk Intan,” katanya. – BHarian Online