SEORANG ahli gimnastik berusia 22 tahun, telah menyenaraikan beberapa perkara yang akan dilakukannya selepas doktor enggan menjalankan pembedahan pemindahan organ kerana jantung dan paru-parunya sama usia dengan individu berusia 80 tahun.
Sonny Lang pernah menjalani pemindahan jantung dan paru-paru ketika berusia empat tahun dan dimaklumkan oleh doktor bahawa dia hanya mampu hidup sehingga usia 14 tahun sahaja.
Meskipun berdepan dengan keadaan itu, Lang nekad untuk menjalani kehidupan seperti remaja normal yang lain dan telah menjalani latihan dengan skuad gimnastik Britain.
Namun dia mengalami radang paru-paru ketika bercuti di Crete dan berada dalam keadaan kritikal.
Doktor tidak mahu menjalankan pembedahan ke atasnya kerana Lang tidak akan dapat bertahan disebabkan organnya semakin lemah.
Kini rakan-rakan Lang sedang mengumpul wang untuk menjayakan senarai perkara yang mahu dilakukan olehnya sebelum meninggal dunia iaitu lawatan ke Disney Land di Florida, menaiki belon udara dan menjalani sesi solekan dengan jurusolek MAC.
Lang juga mahu menonton gusti WWE dan melaksanakan mimpinya selama ini iaitu bekerja bersama gajah. – MYNEWSHUB.CC