KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama seluruh negara dilaporkan berjalan lancar sehingga pukul 2 petang ini walaupun kenderaan bertambah apabila warga kota mula keluar ibu kota menjelang cuti Aidiladha.
Jurucakap Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berkata keadaan di kedua-dua arah utara dan selatan adalah terkawal.
“Namun terdapat satu kemalangan lori terbalik di KM 225.8 arah selatan dari Pedas Linggi ke Simpang Ampat menyebabkan trafik bergerak perlahan sejauh dua kilometer,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini Rabu.
Sementara itu, aliran di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur (LPT) turut dilapor bergerak lancar.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. – BERNAMA