PUTRAJAYA – Seorang bekas pemandu van yang sedang menjalani rawatan psikiatri, diperintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh dua lelaki, dalam kejadian amuk di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Melati, Kuala Lumpur, dua tahun lepas.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Aziah Ali yang mengetuai panel tiga hakim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan supaya Muhammad Zamri Yusof, 28, dipanggil membela diri terhadap dua pertuduhan membunuh itu.
Hakim Aziah yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Tengku Maimum Tuan Mat dan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi juga mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi supaya Muhammad Zamri ditahan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental mengikut Seksyen 348(1) Kanun Prosedur Jenayah.
Hakim Mahkamah Tinggi Kamardin Hashim membuat perintah itu pada 4 Mac 2015.
Muhammad Zamri didakwa membunuh penjual peralatan tulis, Lee Kah Ghee, 44, di hadapan stesen LRT Taman Melati antara pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari, 24 Okt 2013.
Muhammad Zamri juga didakwa membunuh seorang pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR), Kwan Chun Thai, 25, di tepi tiang LRT bernombor P 24/55, Kampung Wira Jaya Luar, Jalan Tumbuhan, Wangsa Maju, pada waktu dan tarikh yang sama.
Mahkamah Tinggi memerintahkan Muhammad Zamri ditahan di Hospital Bahagia untuk pemeriksaan kesihatan mentalnya di akhir kes pendakwaan tanpa memanggil tertuduh membela diri terhadap pertuduhan membunuh itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurshafini Mustafha berhujah bahawa perintah hakim itu salah kerana tertuduh sepatutnya dipanggil membela diri untuk membuktikan dia tidak waras semasa kejadian.
Beliau berhujah hakim itu membuat perintah berkenaan berdasarkan laporan pemeriksaan psikiatri dari sebuah hospital yang dikemukakan melalui pegawai penyiasat semasa perbicaraan kes itu di akhir kes pendakwaan.
Katanya, sebanyak enam saksi pihak pendakwaan dipanggil memberi keterangan.
Peguam Jayananda Rao pula membantah rayuan pihak pendakwaan supaya anak guamnya dipanggil membela diri atas alasan perintah Mahkamah Tinggi itu adalah betul.
Mengikut ringkasan fakta kes, pada hari kejadian Muhammad Zamri telah datang ke satu kiosk di kawasan itu untuk menghantar rokok dengan van dan telah menikam pemilik kiosk itu di bahagian pinggang.
Dia seterusnya menikam seorang pekerja kiosk itu di perut menggunakan pisau sebelum meninggalkan kawasan itu dengan menaiki van. Kedua-dua mereka mengenali Muhammad Zamri kerana dia selalu menghantar rokok ke kiosk berkenaan.
Muhammad Zamri kemudiannya beredar dari situ dengan menjerit-jerit lalu menikam Lee (penjual peralatan tulis).
Selepas itu, dia melarikan diri dengan van sama dan berlanggar dengan kereta seorang pelajar kolej (Kwan) lalu bertindak menikamnya dengan pisau sama.
Dia juga cuba menyerang seorang lagi orang awam, tetapi orang itu berjaya melarikan diri.
Orang ramai yang melihat kejadian itu telah memanggil polis dan tertuduh berjaya ditahan. Hasil bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa mati kerana tikaman di jantung. – BERNAMA