RANCANGAN tarian popular di Hollywood, Dancing With The Stars (DWTS) telah memperkenalkan bintang-bintang baharu yang bakal bersaing dalam pertandingan itu untuk musim terbarunya.
Senarai pendek bintang serta individu popular untuk rancangan yang sudah masuk musim yang ke-21 itu ternyata menarik perhatian orang ramai selepas aktivis kehidupan liar, Bindi Irwin juga turut tersenarai.
Bindi, 17, yang juga anak kepada pencinta haiwan atau pemburu haiwan liar terkemuka, Steve Irwin, akan digandingkan dengan penari profesional popular, Derek Hough.
Derek Hough juga mempunyai rekod baik ketika berada di dalam pertandingan tersebut selepas menjadi juara sebanyak 5 kali bersama bintang-bintang yang pernah digandingkan dengannya sebelum ini.
Penonton pasti akan teruja dan tidak sabar untuk melihat Bindi yang sememangnya lasak serta ekstrem dalam bidangnya beraksi di pentas tarian yang memerlukan dia menampilkan sisi feminin dan lembutnya sebagai seorang wanita.
Mampukah Bindi membanggakan mendiang bapanya yang telah meninggal dunia akibat insiden disengat ikan pari pada tahun 2006?
Pastinya dia akan mendapat sokongan padu daripada keluarga, rakan-rakan dan peminatnya untuk rancangan tarian hebat ini.
Antara nama popular yang akan memberi saingan sengit kepada Bindi untuk musim itu termasuklah penyanyi kumpulan Backstreet Boys, Nick Carter, pelakon Alexa Penavega dan tukang masak terkenal, Paula Deen.
Musim lepas bintang yang menjuarai pertandingan ini adalah Rumer Willis yang juga anak kepada Bruce Willis dan Demi Moore. – MYNEWSHUB.CC
Bindi Irwin tersenarai sebagai peserta Dancing With The Stars musim ke-21.
Derek Hough pernah digandingkan dengan pelakon, Amber Riley dan menjuarai pertandingan tersebut.