BUKIT MERTAJAM – Seorang anggota polis yang sedang merisik maklumat di sebuah kilang memproses makanan ayam di Bukit Tengah di sini semalam parah dipukul sekumpulan warga asing.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Rusli Mohd Noor berkata dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, pistol anggota polis berpangkat Koperal berkenaan berserta peluru turut dirampas.
Kumpulan itu merupakan pekerja kilang berkenaan, katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata anggota tersebut kemudiannya menghubungi rakannya sebelum anggota Unit Rondaan Bermotosikal datang dan menemuinya dalam keadaan terbaring.
“Anggota itu kemudiannya dihantar ke Hospital Bukit Mertajam dan menerima lima jahitan di dahi sementara tulang rusuknya didapati patah,” katanya.
Rusli berkata sehubungan kejadian itu, 18 lelaki Nepal serta lima wanita Vietnam dan Indonesia ditahan.
Senjata api milik anggota itu berjaya ditemui semula di kawasan semak berhampiran kilang berkenaan, katanya.
Beliau berkata beberapa lagi warga asing yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan sedang dikesan. – BERNAMA
Polis Pulau Pinang buru 4 warga asing kes pecah rumah dan samun.
https://www.youtube.com/watch?v=IsCjOmKS6fE