ALOR GAJAH – Sifat hasad dengki menebal merupakan kelemahan orang Melayu yang perlu dihapuskan bagi memastikan perpaduan sentiasa kukuh terutamanya dalam kalangan anggota UMNO, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Naib Presiden UMNO itu berkata musuh politik UMNO melihat hasad dengki sebagai suatu kelemahan yang perlu diambil kesempatan dan mahu sifat itu berterusan malah lebih menebal.
“Sejarah memperlihatkan empayar dan tamadun Islam jatuh disebabkan berlakunya khianat, hasrat dengki dan benci-membenci malah ada yang sanggup berkompromi dengan musuh.
“Khianat, hasrat dengki dan benci-membenci ini akan kurangkan juga akan mengikis kekuatan, agama dan perpaduan dalam kalangan orang Melayu terutama kita ahli UMNO,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka; Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO; dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh merangkap Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah.
Ahmad Zahid berkata ketentuan untuk meletakkan kedudukan seseorang itu adalah urusan Allah dan hamba-Nya tidak sepatutnya mempersoal ketentuan itu dengan mempunyai sifat hasad dengki.
“Kedudukan seseorang itu sangat jelas, kita boleh berusaha dan tawakal kepada Allah sebab qada dan qadar itu boleh ditukar dengan doa.
“Tetapi hakikatnya apabila seseorang diletakkan di tempatnya, sama ada di peringkat cawangan, bahagian, negeri atau pusat, maka sokongan dan dokongan perlu diberi secara padu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan perpecahan di kalangan anggota UMNO kerana menyokong pemimpin tertentu perlu ditamatkan serta-merta dan anggota UMNO di setiap peringkat perlu bersatu di bawah satu sokongan dengan menyokong satu kepimpinan.
Katanya sifat itu perlu dihapuskan segera kerana anggota UMNO sudah tidak mempunyai masa lagi untuk berbalah sesama sendiri memandangkan pilihan raya umum ke-14 sudah semakin dekat bagi memastikan UMNO kekal memerintah bagi membela nasib rakyat.
Ahmad Zahid berkata perpecahan di kalangan anggota UMNO boleh menimbulkan persepsi yang negatif terhadap parti keramat orang Melayu itu.
Beliau berkata UMNO pada masa ini menghadapi ‘peperangan’ persepsi dan dihukum melalui ‘mahkamah’ pendapat umum, justeru anggota parti perlu menggunakan minda mereka dalam menghadapi pelbagai cabaran masa kini.
“Dahulu kekuatan politik di zaman penjajah berdasarkan kekuatan senjata, kini politik dipengaruhi kekuatan minda, apabila persepsi negatif diwujudkan akan jadi negatif, bila positif akan jadi positif, seseorang itu telah dihukum terlebih dahulu melalui persepsi,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, anggota UMNO perlu lebih kuat terutamanya dalam menguasai media sosial bagi menangkis segala serangan musuh politik parti itu.
“Jangan kita gagal dalam peperangan minda melalui media sosial, jangan sesekali ada anggota UMNO yang ‘menembak’ sesama sendiri dalam media sosial, hentikan segera,” katanya.
Dalam majlis yang dihadiri 566 perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah itu juga, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM250,000 untuk menaik taraf Dewan Tun Syed Ahmad Al-Haj, Institut Kemahiran Belia Negara di sini. – BERNAMA
https://youtu.be/9y1_ak0rLXk