KUALA LUMPUR – Banduan kes liwat yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin tidak dimaklumkan oleh peguam-peguamnya mengenai situasi sebenar parti-parti pembangkang waktu ini.
Anwar dalam satu perutusan dari dalam penjara hari ini mengucapkan tahniah kepada PAS kerana akan bekerjasama dengan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) dalam rundingan meja bulat parti pembangkang Selasa ini.
“Saya terima baik usaha rundingan meja bulat yang akan disertai wakil-wakil PAS, PKR, DAP dan PAN serta badan bukan kerajaan (NGO) pada Selasa ini.
“Ini merupakan langkah awal yang penting bagi mewujudkan muafakat yang melibatkan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Anwar berkata, perjumpaan itu mewujudkan muafakat politik antara PAS, PKR, DAP dan PAN bagi meneruskan agenda reformasi dan menjatuhkan Barisan Nasional (BN).
“Kita mengetepikan perbezaan dan maju ke hadapan untuk membentuk alternatif yang berdaya maju, adil dan demokratik berbanding kerajaan sedia ada,” dakwanya.
Kenyataan Anwar itu menunjukkan seolah-olah beliau tidak tahu tentang pengumuman pucuk pimpinan PAS sama sekali tidak akan menyertai gabungan baharu pembangkang iaitu Pakatan Rakyat 2.0.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini menegaskan PAS tidak akan menyertai Pakatan Rakyat 2.0 kerana tidak mahu bersengkongkol dengan DAP dan PAN bagi mencapai agenda politik mereka. – MYNEWSHUB.CC