TAWAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menahan lima orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Filipina semalam, kerana memasuki negara ini secara haram.
Ketua Penguatkuasa APMM Tawau Kapten Anor Jaafar berkata kesemua PATI yang berumur antara 19 hingga 40 tahun, itu ditahan dalam sebuah bot pam di perairan perairan pulau Bohey Dulang, Semporna, dekat sini.
“Anggota APMM yang sedang menjalankan tugas rondaan di sekitar lokasi berkenaan telah mengesan bot pam yang datang dari arah perairan negara jiran itu menuju ke perairan Semporna kira-kira pukul 5.15 petang.
Pemeriksaan mendapati terdapat seorang juragan dan empat awak-awak dan di atas bot pam berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Kesemua yang ditahan kemudiannya dibawa ke jeti Kem Azumi, Semporna untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan yang sah, katanya.
Sementara itu, beliau berkata APMM terus menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan untuk memastikan komuniti maritim khususnya di perairan daerah ini tidak sewenang-wenangnya dicerobohi.
“Sebarang kejadian kecemasan dan aktiviti jenayah maritim semasa berada di laut boleh dilaporkan dengan menghubungi di talian MERS 999 atau menghubungi pejabat operasi Maritim Malaysia Tawau di talian 089-752115,” katanya. – BERNAMA