BALIK PULAU – Bekas imam sebuah masjid di Teluk Kumbar di sini maut selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori lalu terjatuh dan digilis lori berkenaan dalam kejadian di Jalan Teluk Kumbar-Bayan Lepas di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin berkata dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 petang itu, mangsa Yahya Said, 78, baru balik menunaikan solat Zohor di Masjid Sungai Batu, tidak jauh dari lokasi kemalangan.
“Kemalangan itu berlaku apabila lori yang membawa muatan pasir dari arah Bayan Lepas menghala Teluk Kumbar telah bergesel dengan motosikal ditunggang mangsa dan menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa telah digilis lori berkenaan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Mayat dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.
Katanya, polis telah mengambil keterangan pemandu lori berusia 35 tahun itu.
Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. – BERNAMA