KUALA LUMPUR – Berat anak panda gergasi kini mencapai 635 gram, meningkat sekali ganda daripada berat yang dicatatkan minggu lepas, dengan kepanjangan tubuhnya pada 28.5 sm.
Pengarah Zoologi dan Veterinar, Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) Dr Mat Naim Ramli berkata pertumbuhan anak panda yang belum diberikan nama itu akan berterusan dengan pantas untuk beberapa bulan ini.
“Semenjak dilahirkan, perkembangan anak panda sudah mula mempamerkan pertumbuhan bulu yang semakin panjang, kuku yang semakin panjang sehingga boleh mengaut tuala yang digunakan untuknya dan bentuk telinga yang semakin besar,” katanya kepada Bernama di sini, Isnin.
Menurutnya, anak panda itu masih lagi buta dan perlu menunggu sehingga Oktober atau awal bulan November untuk matanya terbuka dengan sendiri.
Pihak Zoo Negara bercadang untuk mempamerkan bayi panda untuk tatapan umum selepas berusia dua bulan.
Sementara itu, Dr Mat Naim berkata selera makan Liang Liang yang melahirkan anaknya itu pada 18 Ogos lepas sudah pulih tetapi masih lagi menggunakan satu tangan untuk makan.
Sementara satu lagi tangannya digunakan untuk memegang anaknya dan pihak Zoo Negara amat gembira atas perubahan positif panda gergasi itu, katanya.
Pasangan panda gergasi dari negara China itu yang sebelum ini dikenali dengan nama Fu Wa dan Feng Yi tiba di Malaysia pada 24 Mei 2014 sebagai simbol jalinan hubungan diplomatik 40 tahun antara Kuala Lumpur dan Beijing.
Anak panda gergasi itu pula hanya boleh berada di negara ini selama dua tahun sahaja sebelum perlu dihantar pulang ke China, mengikut perjanjian. – BERNAMA
Zoo Negara beri tiket percuma hari lahir panda.