LAMAN Twitter milik Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan baru-baru ini menarik perhatian ramai selepas menyiarkan gambar sebuah rumah sambil memaklumkan bil pembersihan telah dihantar ke pejabat Bersih.
“Hari ini pegawai saya pergi ke pejabat berdaftar Bersih untuk menghantar bil pembersihan sebanyak RM65 ribu. Ia dikunci dan tidak dijaga.
“Dan ini adalah pejabat Bersih yang sama sekali tidak kelihatan ‘bersih’,” katanya di akaun Twitter @mpkotabelud  yang turut memuat naik gambar sebuah rumah dua tingkat yang usang.
Hal itu sekali gus cepat disedari oleh beberapa aktivis Bersih 2.0 yang memaklumkan kesilapan yang telah dibuat.
“Salah rumah lah! Jangan hina pak cik yang duduk di sebelah rumah,” ujar salah seorang daripada mereka, Zoe Randhawa.
“@mpkotabelud untuk makluman anda, ini bukan @pejabat bersih2. Tertanya-tanya, siapa yang pilih anda jadi menteri?” bidas pengurus sekretariat Bersih 2.0, Mandeep Singh.
Pada masa yang sama, Mendeep Singh kemudian dilihat memberikan nombor telefon pejabat mereka kepada Ahli Parlimen Kota Belud itu.
Sebagai jawapan, Abdul Rahman menyatakan pegawainya akan menghantar bil berkenaan sekali lagi minggu depan.
“Kami akan cuba lagi untuk menghantar invois RM65k kepada Maria Chin Abdullah (Pengerusi Bersih 2.0) dan Bersih minggu depan. #payup!” tulis beliau lagi.
Sebelum ini, Rahman memberitahu, notis tuntutan bernilai RM65,000 akan dihantar kepada penganjur Bersih 4 sebagai kos pembersihan dan pembaikan harta benda.
Sementara itu, penganjur Bersih pula berkeras akan mencabar mana-mana bil pembersihan yang dihantar oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan menyifatkan tindakan sedemikian sebagai ‘tidak masuk akal’. – MYNEWSHUB.CC