NEW DELHI – Seorang budak lelaki berusia 10 tahun di India mendakwa dia memiliki deria rasa yang cukup kuat hinggakan mampu mengenal warna, menunggang basikal dan berjalan, meskipun matanya ditutup.
Budak tersebut, Vikas Panchal yang berasal dari Delhi berkata, dia mempunyai deria yang luar biasa itu dengan berlatih teknik senaman minda selama dua jam setiap hari.
Satu rakaman video menunjukkan bagaimana dia berupaya memilih warna bola yang berbeza dengan hanya matanya ditutup. Dia memilih warna bola berkenaan selepas menghidu bola tersebut selama beberapa saat.
“Orang yang menggunakan otak di bahagian tengah tidak akan lupa apa yang mereka lihat atau dengar. Ia membolehkan mereka menjalankan tugas setiap hari dengan mata yang tertutup,’’ katanya.
Dalam pada itu, jurulatihnya, Shri Bhagwan berkata, latihan yang dilakukan oleh Vikas adalah umpama bermeditasi dengan masing-masing duduk di tempat sunyi dan menutup mata.
“Bahagian kanan otak kita lebih aktif. Dengan menggunakan teknik ini, maka kita akan mengaktifkan bahagian kiri minda yang lebih malas.
“Masa terbaik untuk berlaku adalah sebelum matahari terbenam,’’ katanya yang dipetik media tempatan. - MYNEWSHUB.CC