KUALA LUMPUR – Pengguna kenderaan kelas satu bakal menikmati rebat lima peratus bagi pembayaran tol secara elektronik di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) selama tiga bulan bermula Rabu ini.
Pengendali AKLEH, Projek Lintasan Kota Sdn Bhd (Prolintas) dalam satu kenyataan hari ini berkata rebat itu diberikan kepada pengguna yang membuat bayaran menggunakan rangkaian kad Touch ‘n Go, kad Zing dan MyKad di Plaza Tol Datuk Keramat.
Pemberian rebat itu akan berlangsung sehingga 8 Dis, bersempena pelaksanaan penuh kutipan tol secara elektronik, mulai tengah hari 9 Sept ini, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Ir Zainudin A.Kadir.
Kenderaan kelas satu adalah kenderaan dua gandar seperti kereta, van dan lori kecil.
Menurut kenyataan itu, penebusan rebat boleh dilakukan dalam tempoh sebulan selepas tamat transaksi pada akhir sesuatu bulan di kaunter Pusat Khidmat Pelanggan AKLEH yang dibuka bermula 7 pagi hingga 10 malam setiap hari termasuk cuti umum sepanjang tawaran berlangsung.
Bagaimanapun, penebusan tidak dibenarkan selepas dari tarikh yang ditetapkan untuk sesuatu bulan penggunaan.
Prolintas turut menasihatkan pengguna untuk mendapatkan kad Touch ‘n Go secara percuma dengan hanya membayar kadar kredit RM5 sementara stok masih ada.
Penjualan dijalankan di lorong-lorong tunai untuk memudahkan para pengguna AKLEH mendapatkan kad mereka sebelum tarikh pelaksanaan nanti.
Unit Smart Tag juga akan ditawarkan pada harga istimewa RM99 pada 9 Sept 2015 selagi stok masih ada, katanya.
Orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan AKLEH di talian 1-300-88-1012 untuk maklumat lanjut. – BERNAMA