PADA Isnin ketika seluruh dunia gempar dengan gerhana bulan penuh yang tiba-tiba muncul tanpa diduga, warga Arab Saudi pula ‘bergembira’ merayakan ulang tahun ke-25 hubungan diplomatik negara Islam itu dengan China.
Lebih istimewa, jalinan Riyadh-Beijing itu disambut dengan pembukaan sebuah kedai diusahakan rakyat Arab Saudi yang menjual pelbagai barangan dari China dan majlis dirasmikan sendiri oleh Duta China, Li Chengwen.
Paling manis, duta besar itu adalah beragama Islam dan dalam ucapannya, beliau berbangga mengaku sebagai Muslim China dan kebetulan negaranya ada 20 juta umat Islam daripada keseluruhan 1.4 bilion orang penduduk.
Hasil hubungan baik tersebut membolehkan China menghantar 14,000 jemaah haji menjalani ibadah rukun Islam kelima itu tahun ini dan mewartakan Aidiladha disambut sebagai cuti umum di beberapa wilayah majoriti Muslim.
Secara kebetulan, majlis itu diadakan bersempena dengan ulang tahun ke-66 penubuhan Republik Rakyat China pada 1 Oktober; dan kebetulan juga tarikh sama Beijing-Riyadh menjalinkan hubungan diplomatik pada 1990.
Itu cerita China dengan Arab Saudi. Lain pula kisahnya di Malaysia walaupun dua negara ini membuka kedutaan di ibu kota masing-masing jauh lebih awal iaitu sejak 1974, minggu lalu situasi diplomatiknya agak ‘berkocak’ sikit.
Baca: Wisma Putra Bantah Komen Duta China Isu Jalan Petaling
Juga: Gerhana Bulan Penuh Tiba-tiba Muncul Di Arab Saudi
Asalnya hanyalah satu lawatan Duta China, Dr. Huang Huikang ke Jalan Petaling di bandar raya Kuala Lumpur pada Jumaat minggu lalu sambil meninjau keadaan peniaga di situ yang majoriti besarnya adalah bangsa Cina.
Malangnya, beliau dilaporkan mengeluarkan kenyataan berbaur kontroversi kepada pemberita tempatan yang menyatakan “akan bertindak tegas kepada kerajaan Malaysia jika ‘warga China’ negara ini terjejas.”
Kenyataan itu turut diambil kesempatan oleh beberapa pemimpin parti pembangkang khasnya berbangsa Cina yang memutar belit dengan mendakwa Beijing tidak akan ‘berdiam diri’ jika orang Cina di Malaysia ‘diserang’!
Ia susulan kejayaan putar belit media pro-pembangkang beberapa hari sebelum itu kononnya satu perhimpunan ‘ganas’ ala ‘Baju Merah’ akan diadakan di situ pada Sabtu keesokannya oleh penganjur ‘Himpunan Rakyat Bersatu’.
Ini menyebabkan ramai peniaga di kawasan dikenali sebagai Chinatown itu ketakutan seperti yang berlaku pada himpunan kumpulan tersebut 16 September lalu menyaksikan mereka terpaksa bertindak menutup perniagaan.
Realitinya bagi yang faham bahasa Mandarin bahkan dilapor semua media termasuk propembangkang selepas lawatan Huikang petang 25 September, beliau merujuk kepada rakyat China atau disebut ‘jin gongmin‘.
Ironi ada pula sesetengah pemimpin pembangkang mengeksploitasi kenyataan duta itu dengan merujuk kepada orang Cina atau ‘zhongguo ren‘ dan inilah punca kenapa pihak Kementerian Luar memanggil beliau pada Isnin.
Wisma Putra turut dilaporkan membantah keras kenyataan Huikang kerana ia jelas cuba mencampuri hal ehwal dalaman Malaysia dan lebih tidak wajar diucapkan oleh individu diplomat apatah lagi yang bertaraf duta besar.
Paling dahsyat, kenapa beliau berada di jalan itu pada waktu ‘tidak sesuai’ dengan isu sensitif tanpa ditemani pegawai kerajaan Malaysia dan kemudian cakap sedemikian yang dianggap di luar norma protokol diplomatik!
Mujur Huikang menyedari kekhilafan istilah yang cuba diputar belit pihak tertentu malah Kementerian Luar China mengesahkan lawatan itu adalah normal sempena festival tradisional musim luruh kebetulan jatuh pada Ahad.
Hakikatnya, bagi yang arif dengan fakta sejarah, pasti tahu kerajaan China pernah hantar nota diplomatik kepada Malaysia selain Indonesia, Brunei dan Singapura pada awal 1970-an lalu berhubung isu istilah Cina dan China.
Ia ekoran penggunaan tulisan rumi menggantikan tulisan jawi terhadap perkataan Cina dalam bahasa Melayu dan bagi elak kekeliruan timbul, Cina merujuk kepada nama kaum manakala China pula jelas merujuk nama negara.
Dalam bahasa Inggeris, keadaan mungkin lebih rumit kerana kebanyakan orang merujuk perkataan nama khas Chinese sebagai sinonim serentak kepada kaum dan negara, walhal ia mesti dibaca mengikut konteks ayat penuh.
Justeru untuk mengatasi masalah itu, lazimnya akan disebut Chinese people bagi merujuk kepada nama kaum dan Chinese citizen / government yang merujuk kepada warganegara / kerajaan China. – Mynewshub.cc/HAA