LAMAN rasmi facebook serta twitter filem Star Wars yang terbaharu, Episode VII: The Force Awakens, telah mengumumkan bahawa epik tersebut bakal ditayangkan pada 17 Disember ini di seluruh United Kingdom (UK).
Sebelum ini, filem kegemaran ramai itu dikatakan akan mula menjengah di pawagam seluruh dunia pada 18 Disember 2015, namun untuk pawagam di UK, ia telah dianjakkan sehari lebih awal daripada negara-negara lain.
Laman rasmi filem tersebut juga telah membuatkan orang ramai semakin lebih teruja selepas ia mula membuat kiraan hitung detik 100 hari (bermula pada 8 September) lagi menjelang tarikh hari tayangan perdana filem itu.
Bagaimanapun, maklumat yang diperoleh menerusi laman sosial rasmi filem berkenaan telah menimbulkan pelbagai tanda tanya. Adakah filem yang dinanti-nantikan ini hanya ditayangkan awal di pawagam UK sahaja?
https://twitter.com/StarWarsUK/status/641023410093494272/photo/1?ref_src=twsrc%5Etfw
Atau tarikh filem hasil maha karya George Lucas tersebut dikeluarkan telah ditukar? Anehnya, menurut sumber lain mengesahkan ia bakal ditayangkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dua hari lebih awal iaitu 15 Disember.
Manakala tarikh untuk tayangan perdana di pawagam seluruh Amerika Syarikat (AS) dan Kanada, filem yang menelan kos bernilai AS$200 juta (RM860 juta) itu hanya akan disiarkan bermula pada 18 Disember.
Untuk pawagam di Perancis, Itali dan beberapa negara Kesatuan Eropah tertentu (kecuali Britain), filem ini ditayangkan pada 16 Disember depan sementara negara-negara lain kemungkinan selepas 19 Disember ini.
Tidak pula diketahui bagaimana UAE boleh mendapat tarikh tayangan jauh lebih awal, namun penganalisis merumuskan, ia mungkin disebabkan negara Asia Barat itu menjadi lokasi penggambaran filem tersebut.
Bagaimanapun, menurut sumber industri, jawapan yang lebih rasmi bagi mensahihkan informasi terbaharu itu masih lagi belum dikeluarkan oleh pihak Walt Disney Studios Motion Picture serta Star Wars UK.
Selain UAE, filem arahan sutradara terkenal JJ Abrams serta diterbitkan secara bersama oleh Walt Disney Pictures dan Lucasfilm ini turut menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik di Britain selain Ireland.
Sekuel pertama Star Wars ialah Episode IV: A New Hope yang ditayangkan pada 1977, diikuti Episode V: The Empire Strikes Back (1980), Episode VI: Return of the Jedi (1983) dan Episode I: The Phantom Menace (1999).
Ini disusuli Episode II: Attack of the Clones (2002) dan Episode II: Revenge of the Sith (2005), manakala sekuel berikutnya Episode VIII dijadualkan 2017 serta Episode IX pada 2019. – Agensi/MYNEWSHUB.CC/HAA SYFQ