IPOH – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) memperkukuh perpaduan dalam kalangan anggotanya perlu dicontohi oleh semua pihak, terutama generasi muda.
Beliau berkata untuk tujuan itu BAKTI, yang diterajui Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk Program Tahunan Isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional SeMalaysia (PTIWRBNM) 2015.
“BAKTI perlu dicontohi generasi muda atau ‘Gen Y’ dan penganjuran programnya harus dilihat dari segi ‘substance’ atau pengisian seperti wacana intelektual serta difahami matlamat yang tersirat.
“Semangat yang ada pada seluruh ahli-ahli badan amal ini melayakkan mereka digelar sebagai ‘iron ladies’,” katanya ketika merasmikan PTIWRBNM 2015 di Dewan Perdana Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Sejumlah 536 peserta membabitkan 145 kontinjen mengambil bahagian dalam program tahunan bertema ‘Budayakan Sukan, Akrabkan Hubungan’ yang mempertandingkan acara badminton dan tenpin boling.
Ahmad Zahid berkata program itu merupakan manifestasi kebersamaan isteri-isteri wakil rakyat yang diilhamkan Rosmah.
“Saya kenal sangat beliau dari zaman saya belajar lagi, beliau adalah seorang yang amat teliti, terperinci dan kesilapan sifar…jika diteliti ucapan YAB Datin Seri Rosmah sebentar tadi, ia terperinci dan jelas.
“Kita tidak boleh mencincaikan apa yang kita buat, jadi kita harus mencontohi YAB Datin Seri Rosmah,” katanya sambil meminta hadirin bangun memberikan tepukan gemuruh kepada Yang Dipertua BAKTI itu.
Beliau berkata dengan ledakan pelbagai gelombang yang melanda negara ketika ini, tekanan turut dirasai oleh isteri wakil rakyat dan kaedah terbaik untuk melepaskannya ialah dengan bersukan, berekreasi serta melakukan sesuatu di luar norma kebiasaan rutin harian.
Katanya, badan amal seperti BAKTI tidak ada di negara lain, jika adapun hanya pertubuhan ‘biasa’ tetapi tidak sehebat BAKTI. – BERNAMA