SEMPORNA – Golongan belia di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) diminta membantu memantau keselamatan di kampung masing-masing dengan menyertai pertubuhan sukarela yang relevan.
Anggota Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semasa membuat gesaan itu berkata langkah itu akan dapat memastikan sektor pelancongan di kawasan Esszone termasuk Semporna yang terkenal dengan pulau-pulau yang indah, terus berkembang.
“Walaupun keadaan keselamatan di sini (ESSzone) terkawal, namun ia perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa … perlu perkasakan lagi tahap keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke beberapa kampung di daerah ini, hari ini.
Beliau berkata pelancongan merupakan sektor yang boleh membawa keuntungan bukan sahaja kepada daerah ini tetapi juga negara.
“Oleh itu kita perlu bekerjasama membantu mempertingkatkan tahap keselamatan agar pelancong terus yakin untuk berkunjung ke Sabah khususnya Semporna yang terkenal dari segi pelancongan bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat dunia,” katanya. – BERNAMA