PETALING JAYA – Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Hamzah Zainudin memberi amaran kepada peniaga supaya menurunkan harga barang selaras dengan penurunan harga minyak bagi bulan September.
Beliau berkata tempoh seminggu diberikan kepada mereka untuk berbuat demikian atau berdepan dengan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Harga petrol RON95 dan RON97 turun 10 sen seliter masing-masing kepada RM1.95 dan RM2.35 sen, manakala diesel turun 15 sen seliter kepada RM1.80.
“Jangan melampau sangat dengan mengambil untung berlebihan, sepatutnya ada penurunan harga, dan kita (kementerian) akan turun ke bawah serta melihat sama ada harga barang ada penurunan atau tidak,” katanya.
Hamzah bercakap kepada pemberita pada majlis ramah mesra bersama warga Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di sini hari ini.
Beliau turut mempersoal tindakan peniaga yang cepat menaikkan harga apabila harga minyak naik.
“Hari ini saya hendak beritahu pihak peniaga bahawa penguat kuasa akan tengok (jika peniaga kaut) keuntungan melampaui batas, kita ambil tindakan. Ini (kaut untung) adalah tidak adil,” katanya. – BERNAMA
Ekonomi Semasa Malaysia