UMUM mengetahui, penyanyi dan pelakon Hazama sedang hangat menjalinkan hubungan cinta dengan seorang pemuzik, Genervie Kam sejak beberapa tahun lalu.
Kisah percintaan pasangan ini juga seakan-akan sama dengan skrip percintaan Akim dan Ummu Syaikhah Stacy Abdullah atau Stacy.
Tidak dapat lari dihujani dengan soalan bila akan berkahwin, penyanyi Sampai Mati ini akui menyerahkan segala-galanya kepada ketentuan takdir.
“Hubungan kami masih berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah. Saya tak nak ulas lanjut tapi hanya boleh kata kami sedang menanti waktu dan tarikh sesuai untuk ke arah itu (memeluk Islam). Saya bersyukur kerana melihat Akim dan Stacy mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak.
“Bagaimanapun, ada situasi yang berlaku buatkan Genervie takut. Jadi, saya perlu memainkan peranan untuk menerangkan kepadanya sejelas-jelasnya supaya dia faham dan tidak pandang serong terhadap apa yang terjadi. Alhamdulillah, ia bukan lagi persoalan besar buatnya sekarang.
“Saya tak sentuh sangat persoalan agama kerana ia isu sensitif. Namun siapa yang tak nak kekasihnya buat perkara yang menyenangkan. Kalau 10 tahun lagi pun tempohnya untuk kami kahwin, saya kenalah tunggu,” jelasnya kepada Harian Metro.
Pada masa yang sama, Hazama memberitahu dia dan kekasih ada membincangkan soal kahwin namun tidak serius . – MYNEWSHUB.CC