GERIK – Dataran Loma yang terletak di Kuala Rui di sini senantiasa menjadi tumpuan orang ramai dan bilangannya akan bertambah dua kali ganda pada musim ‘menyauk’ ikan loma.
Sungai Rui yang mengalir di hadapan dataran menjadi tarikan baharu sektor pelancongan di Gerik yang cukup sinonim dengan keindahan alam semula jadi terutama Royal Belum yang menjadi kebanggaan masyarakat di sini.
Tradisi ‘menyauk’ ikan loma di Sungai Rui ini sebenarnya sudah diamalkan masyarakat setempat sejak 30 tahun lalu.
Apabila tiba musim ‘menyauk’ ikan loma ini, kawasan sekitar kelihatan bagaikan satu pesta sehingga pihak berkuasa tempatan membuat keputusan membina Dataran Loma untuk memudahkan orang ramai meneruskan kegiatan ini.
Hasil tangkapan boleh berguni-guni banyaknya dan ikan loma ini juga digemari kerana telurnya di samping ikan yang dijadikan pekasam.
Cuma sejak beberapa tahun kebelakangan ini populasi ikan loma dikatakan sudah mula berkurangan.
Antara punca utamanya sudah pasti kegiatan menangkap ikan secara berlebih-lebihan dan satu lagi punca yang semakin ketara ialah air sungai yang berbau busuk kerana bahan toksik.
Perkembangan ini mencetuskan rasa bimbang di kalangan masyarakat tempatan yang bergantung kepada tangkapan ikan loma sebagai pendapatan tambahan apabila tiba musim tengkujuh.
PENCEMARAN SUNGAI RUI
Menurut penguasaha chalet D’Risa Impiana Mohd Rizairi Jamaludin, sejak 10 tahun kebelakangan ini keadaan air di Sungai Rui sudah menjadi keruh dan keadaan bertambah buruk apabila musim hujan.
Keadaan itu menyebabkan beliau sukar membenarkan pelancong yang menginap di chaletnya untuk melakukan aktiviti air kerana air sungai menjadi terlalu keruh terutama selepas hujan.
“Bukan sekadar keruh, kadang kala berbau bahan toksik. Ada juga ikan yang mati dan sekarang susah nak dapat ikan sungai yang besar di sungai ini.
“Aktiviti riadah juga tidak dapat dilakukan dan ini menjejaskan kedatangan pelancong sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Aktiviti perlombongan bijih timah yang terdapat di Klian Intan, Hulu Perak dipercayai punca utama Sungai Rui bertambah keruh dan bertoksik hingga ada ketikanya menyebabkan ikan mati.
Tidak kurang daripada enam syarikat perlombongan bijih timah beroperasi di kawasan itu dan yang paling lama beroperasi Rahman Hydraulic Tin Sdn. Bhd. iaitu sejak lebih 100 tahun yang lalu.
Tinjauan Bernama turut menemui sisa pembuangan daripada aktiviti perlombongan bijih timah ‘amang’ yang seakan-akan pasir hitam yang telah bercampur dengan pasir sungai di Sungai Rui.
Menurut Mohd Rizairi, keadaan sedemikian boleh mengancam rezeki nelayan darat yang mencari ikan di Sungai Rui dan Sungai Perak sebagai pencarian utama.
“Bukanlah kita menentang perlombongan di sini sebab kita tahu ia juga menyumbang kepada ekonomi kerajaan negeri tetapi harus tengok semula toksik yang dilepaskan ke Sungai Rui.
“Isu inipun bukanlah isu baharu, ia sudah lama tetapi masih belum nampak penyelesaiannya,” kata Mohd Rizairi yang telah mengusahakan chalet di tepi Sungai Rui sejak lapan tahun lalu.
ANCAMAN TERHADAP POPULASI IKAN LOMA
Kebimbangan terhadap pencemaran di Sungai Rui pernah dibangkitkan Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Maketab Mohamed dalam beberapa siri tinjuannya tahun lepas.
Beliau berkata, masalah utama yang berlaku di Sungai Rui adalah pencemaran daripada aktiviti perlombongan bijih timah yang mana air kotor yang berbau busuk dilepaskan ke dalam sungai itu pada masa tertentu terutama ketika hujan lebat.
Partikel halus yang dilepaskan ke dalam sungai menjadi penyebab kematian ikan sungai seperti ikan loma apabila kotoran itu menyelaputi insang hingga tidak boleh menyerap oksigen.
“Banyak episod ikan mati yang terjadi pada tahun lepas dan tahun ini. Proses air sisa daripada perlombongan dan pemprosesan bijih besi masih tidak mencukupi dan menyebabkan pelepasan Pepejal Terampai Total (TSS) amat halus yang tinggi yang boleh menyebabkan ikan mati,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baharu-baharu ini.
Pemantauan secara serius yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar pada aktiviti perlombongan di kawasan itu sedikit sebanyak mengurangkan masalah di Sungai Rui terutama pelepasan air bertoksid secara terus ke sungai.
Bagaimanapun, hidupan di sungai itu masih diancam bahaya memandangkan sisa buangan yang mengandungi asid masih dialirkan ke sungai.
Menurut Dr Maketab, keadaan itu akan menyebabkan TSS yang tinggi di sungai Rui.
“Jabatan Alam Sekitar perlu mendesak syarikat perlombongan supaya menukar modus operandi mereka yang sekian lama mengalirkan bahan sisa ke sungai,” katanya.
KAJIAN TERHADAP IKAN LOMA
Ikan loma, atau saintifiknya Thynnichthys thynnoides, di Sungai Rui mendapat perhatian Universiti Putra Malaysia (UPM) dan satu kajian terhadap spesies ikan itu sedang dijalankan.
Dr Rohasliney Hashim daripada Fakulti Pengajian Alam Sekitar mengetuai kajian itu yang dimulakan pada awal tahun ini.
Kajian itu adalah untuk melihat secara jelas tentang populasi ikan loma di Sungai Rui dan ekosistem yang sesuai dengannya untuk melepaskan telur.
Ini merangkumi kualiti air, ph, suhu, kekeruhan air dan oksigen terlarut di dalamnya.
“Tiga fokus utama kajian adalah tentang migrasi ikan loma di Sungai Rui daripada segi habitat fizikal, biologi dan hidrologi untuk dilengkapkan dalam tempoh tiga tahun sebelum diterbitkan,” menurut Rohasliney.
Menurut beliau, keunikan ikan loma yang menyerupai habitat ikan salmon menarik minat UPM mengkaji kelakuan ikan itu.
Sebelum ini, beberapa kajian telah dihasilkan tentang ikan loma tetapi tidak menyeluruh dan kajian kali ini, katanya, cuba melihat dalam skop yang lebih luas tentang habitat ikan loma.
“Kami berharap hasil kajian dapat membantu terutama jabatan-jabatan berkaitan dalam usaha pemuliharaan spesies ikan loma di masa akan datang,” katanya. – BERNAMA