MELAKA – Ikrar Integriti yang dilafazkan oleh setiap agensi kerajaan dan swasta perlu disertakan dengan pelan tindakan bagi membanteras gejala rasuah di negara ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mustafar Ali berkata pelaksanaan pelan tindakan amat diperlukan bagi memastikan gejala rasuah itu dapat dikekang sepenuhnya.
“Cabaran kita sekarang ini adalah rasuah dan peluang membanterasnya adalah melalui ikrar, jadi pelan tindakan itu sangat diperlukan bagi memberi pendedahan dan dijalankan secara praktikal.
“Mendidik, memberi kefahaman dan kesedaran mengenai kesan buruk rasuah terhadap individu, keluarga dan masyarakat adalah penting bagi membentuk komuniti yang berintegriti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Korban dan Forum Perdana ‘Merakyatkan SPRM’ anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Bukit Punggur dan Japerun Telok Mas di Alai di sini.
Mustafar berkata setiap agensi disaran menjalankan pelbagai program integriti bagi merealisasikan ikrar berkenaan.
“Sebilangan negeri dan agensi telah pun mengadakan pelbagai program berkaitan integriti dan usaha memerangi rasuah melalui penyebaran dan penyampaian mesej secara langsung kepada kakitangan awam atau rakyat.
“Program bersama rakyat juga perlu kerana dengan kerjasama erat antara rakyat dapat memperkasakan usaha pencegahan rasuah ini,” katanya. – BERNAMA