KOTA KINABALU – Kerajaan negeri sentiasa menghargai peranan dan sumbangan wanita dalam memacu pelbagai pembangunan di negeri ini, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Katanya, jasa yang dicurahkan golongan itu tidak ternilai dan kerajaan negeri berusaha untuk memenuhi hasrat wanita di negeri ini termasuklah berkaitan isu persamaan hak wanita dan lelaki, kesaksamaan, keamanan dan kemajuan dalam kehidupan seharian.
“Kerajaan negeri tidak pernah merendah-rendahkan jasa pengorbanan wanita di negeri ini yang sentiasa seiring bersama kaum lelaki untuk membangunkan dan memajukan negeri ini.
“Kita berusaha sebolehnya memberi hak yang berpatutan terhadap golongan ini termasuklah dari segi penjawatan dan urusan pentadbiran.
“Selain itu, segala program yang diusahakan oleh wanita juga pasti akan mendapat sokongan daripada pihak kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Wanita peringkat negeri di sini, Selasa.
Pada majlis itu, Musa turut menyampaikan empat Anugerah Wanita Negeri Sabah serta menyempurnakan pelancaran Blog Wanita Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) yang pertama sejak penubuhannya 27 tahun yang lalu.
Hadir sama pada majlis itu, isteri Musa, Datin Seri Faridah Tussin, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid dan Pengerusi MPWS Datuk Mariati Robert.
Sementara itu, Musa turut memuji MPWS dalam usaha membangunkan wanita luar bandar dengan pelaksanaan program Outreach Pendidikan Wanita Luar Bandar yang diadakan setiap tahun.
“Dengan memberikan pendidikan kepada wanita di luar bandar, ia akan membentuk golongan wanita yang berilmu pengetahuan seterusnya dapat melahirkan generasi yang berpelajaran serta menyumbang kepada kemajuan negeri,” katanya.
Menurut Ketua Menteri, tanpa kesedaran terhadap kepentingan ilmu pengetahuan, sudah tentu anak-anak dan generasi akan datang mudah terjerumus dalam kancah sosial.
Beliau turut menasihatkan agar semua wanita di negeri ini peka terhadap perubahan, manfaatkan peluang yang disediakan, menimba ilmu dan aktif dalam setiap program yang dilaksanakan kerajaan.
“Ini semua pasti akan memantapkan dan memperkasakan lagi keupayaan dan gerak kerja wanita terutamanya dalam meningkatkan kesejahteraan institusi keluarga dan masyarakat,” katanya. – BERNAMA