KUALA LUMPUR – Usaha seorang anak menghubungi telefon bimbit ibunya, seorang daripada jemaah haji Malaysia yang belum dapat dikesan susulan insiden kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah, telah dijawab seorang lelaki Arab.
Perkara itu diceritakan Noor Farehah Abu Bakar, 35, mengenai usaha berterusan yang dilakukan beliau dan tiga beradiknya yang lain untuk menghubungi ibunya, Zainun Taha, 69, antara lapan jemaah haji Malaysia yang hilang berikutan kejadian petang Jumaat di Masjidil Haram.
“Malangnya kami tidak dapat berkomunikasi kerana tidak tahu berbahasa Arab dan lelaki itu tidak faham Bahasa Inggeris,” katanya mengenai panggilan yang dibuat pada 10.30 malam tadi, ketika ditemui di kediaman ibunya di Bukit Antarabangsa di sini, Ahad.
Beliau berkata ibunya sebelum ini sangat peka dengan panggilan telefon yang diterima dan jarang tidak menjawab panggilan daripada anak-anak.
“Paling tidak, ibu pasti akan menelefon kami semula,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Tan Sri Ismee Ismail untuk memberi perkembangan terkini mengenai usaha pencarian kumpulan jemaah yang hilang itu.
Noor Farehah berkata beliau dan anggota keluarganya akan terus berdoa supaya ibu mereka bersama jemaah lain yang hilang ditemui secepat mungkin, dan reda dengan apa juga ketentuan.
Menurutnya, Zainun berlepas ke Tanah Suci pada 9 Sept bersama ibu saudara mereka, Faridah Mansor, 63, yang patah pergelangan kaki kiri dalam insiden yang dikaitkan dengan cuaca buruk itu.
Kejadian kren tumbang itu mengakibatkan 107 maut manakala 238 yang lain cedera termasuk 10 jemaah dari Malaysia. – BERNAMA