KUANTAN – Jabatan Laut Malaysia (JLM) telah meningkatkan tahap pemantauan di perairan negara bagi mengelak berlaku sebarang kemalangan melibatkan kapal-kapal dagang dalam keadaan cuaca jerebu ketika ini.
Timbalan Ketua Pengarah JLM Datuk Rossid Musa berkata pihaknya menggunakan pelbagai sumber komunikasi termasuk ‘Navigation Telex atau Navtex’ yang akan mengumpul data terkini mengenai keadaan cuaca dan arah angin yang membawa jerebu terutama di perairan Selat Melaka.
“Jika sebelum ini, kita mengumpul data keadaan cuaca di sekitar perairan negara menggunakan Navtex dua minggu sekali, namun dalam kekerapan itu kita tingkatkan kepada enam jam sekali.
“Selain itu kita juga memberi maklumat terkini keadaan cuaca secara lisan kepada kapal-kapal dagang yang menggunakan perairan negara kita setiap dua jam sekali,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran ‘Primary Base Oil Spill Response’ di pejabat JLM pantai timur, di sini hari ini.
Rossid berkata kapal-kapal dagang juga dinasihat agar kerap menghubungi pihak berkuasa pelabuhan berdekatan bagi mendapatkan sebarang maklumat berkaitan arah angin dan keadaan cuaca.
Pihaknya juga sedia bekerjasama dengan mana-mana agensi berkaitan bagi memastikan keadaan trafik di perairan negara selamat bagi perjalanan kapal-kapal dagang ketika negara dilanda jerebu ketika ini.
Dalam pada itu Rossid mengucapkan syabas kepada JLM pantai timur kerana sepanjang tempoh lima tahun tiada kemalangan melibatkan tumpahan minyak yang besar berlaku di wilayah berkenaan.
Namun, katanya JLM terus meningkatkan keupayaan peralatan, sumber manusia dan strategi yang terkini bagi meminimumkan kerugian dan kemalangan jika berlaku sebarang kes tumpahan minyak.
“Maka JLM hari ini menaik taraf peralatan mengepung minyak dari ‘Secondary Base OPR’ kepada keupayaan ‘Primary Base OPR’ yang dilengkapi 400 meter panjang ‘oil boom’.
“Peralatan ini juga dilengkapi penyedut minyak menggunakan ‘skimmer’, ‘ro-tank’ bagi menyimpan minyak yang telah disedut,” katanya.
Selain itu, JLM juga sentiasa melakukan persedian dan latihan setiap tahun bersama agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pihak berkuasa pelabuhan bagi menghadapi situasi kecemasan di perairan negara yang melibatkan kapal-kapal dagang. – BERNAMA