KUALA LUMPUR – Hampir semua perkara mahu dipolitikkan parti pembangkang walaupun yang melibatkan isu diluar kawalan kerajaan seperti masalah jerebu yang sedang melanda negara.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan media hari ini mendakwa kononnya kerajaan Malaysia tidak mengambil langkah yang baik dalam menghadapi masalah jerebu.
“Saya mengalu-alukan keputusan Kementerian Pendidikan berkenaan penutupan sekolah-sekolah di sekitar Selangor akibat keadaan jerebu yang semakin teruk.
“Saya (bagaimanapun) tetap merasakan bahawa Kerajaan Persekutuan masih boleh mengambil langkah yang lebih baik dalam menghadapi kemelut pencemaran udara yang sudah menjadi kejadian tahunan ini,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Nik Nazmi dalam pada itu turut mendakwa Kerajaan Persekutuan tidak mengambil langkah yang lebih baik dalam menghadapi kemelut pencemaran udara disebabkan fenomena jerebu tersebut.
Beliau mendakwa kononnya sistem bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang digunakan oleh kerajaan Malaysia tidak sama dengan piawaian yang digunakan oleh negara-negara maju.
“Ini agar rakyat boleh didedahkan dengan bacaan yang lebih tepat. Ramai yang sudah terkesan dengan pencemaran udara ini, apatah lagi ia berulang hampir setiap tahun,” dakwanya lagi.
Selain itu, beliau yang juga Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor memaklumkan Universiti Selangor (UNISEL) ditutup hari ini akibat jerebu dan akan beroperasi semula esok. – MYNEWSHUB.CC