KUALA TERENGGANU – Kebanyakan nelayan pantai di sini yang keluar menangkap ikan awal pagi ini terpaksa berpatah balik kerana keadaan jerebu mengehadkan jarak ketampakan.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Teregganu Selatan (PNKTS) Hasan Ismail berkata cuaca agak baik semasa mereka keluar namun apabila berada di laut mereka tidak nampak daratan akibat jerebu.
“Mereka bimbang terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini dalam keadaan begitu, lalu mereka balik,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Hasan berkata di selatan Kuala Terengganu terdapat hampir 100 bot nelayan pantai dan kesemua nelayan berkenaan tidak memiliki kompas atau sistem navigasi semasa di laut.
Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat pukul 9 pagi ini bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kemaman dan Paka adalah tidak sihat masing-masing pada 176 dan 115 manakala Kuala Terengganu mencatatkan bacaan sederhana pada 74. – BERNAMA