MELAKA – Meskipun cuaca berjerebu melanda negara sejak minggu lepas, namun ia tidak menghalang pelancong dengan rancangan untuk bersiar-siar di Melaka, Bandaraya Bersejarah.
Rachael Norbury, 24, dari United Kingdom berkata beliau berasa sangat tidak selesa ketika keadaan berjerebu, namun suasana sedemikian bukanlah baru buatnya memandangkan suasana serupa turut dirasai sekali-sekala di negara asalnya.
“Saya boleh merasakan suasana berjerebu dan tidak perlu khuatir kerana ia sebenarnya bukan masalah besar, mungkin kita hanya tidak dapat melihat keindahan pemandangan jauh dari sini, itu sahaja,”.
“Bagi memastikan saya sentiasa sihat dan selamat, saya membawa sebotol besar air untuk diri saya sentiasa terhidrat sepanjang masa,” katanya kepada Bernama ketika melawat tempat bersejarah di Bandar Hilir di sini.
Beliau berkata cuaca jerebu tidak akan menghalang beliau untuk kembali lagi ke Malaysia pada masa depan.
Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), Bandaraya Melaka merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 113 setakat pukul 10 malam tadi.
Selki Lee, 26, dari Korea Selatan berkata cuaca jerebu tidak menghalang beliau untuk meneruskan rancangan melawat banyak kawasan menarik di Melaka sebagaimana yang dirancang.
“Bagi saya jerebu adalah sama seperti cuaca mendung dan saya masih dapat merasai cuaca panas cuaca di sini dan saya masih menikmati cuti saya di Melaka,” katanya.
Beliau berkata memakai topeng hidung dan mulut serta membawa air botol merupakan satu kemestian untuk beliau ketika bersiar-siar dalam suasana cuaca berjerebu seperti ini dan keadaan jerebu tidak akan menghalang beliau melawat Malaysia pada masa depan.
Lydia Lee, 30, dari China menangani cuaca jerebu ini dengan membawa bersama ubat sakit tekak serta memakai topeng hidung dan mulut bagi melindungi dirinya daripada jatuh sakit.
“Langkah berjaga-jaga ini membolehkan saya bersiar-siar dengan bebas dan menikmati percutian saya di Melaka. Cuaca berjerebu tidak menjejaskan rancangan saya,” katanya.
Rose Betrand, 34, dari Perancis berkata keadaan cuaca menjadi mendung dan berasap apabila diselindungi jerebu, namun keadaan itu tidak akan menghalang beliau daripada menikmati keindahan tempat-tempat menarik di Melaka.
“Ia penting untuk minum banyak air,” katanya.
Bagi Nixon Sebastian, 45, seorang pengayuh beca di Bandar Hilir mendapati cuaca jerebu adalah masa yang baik untuk memperoleh pendapat lebih memandangkan pelancong menyukai suasana mendung ketika menaiki beca.
Bagaimanapun katanya, beliau akan menasihati setiap individu yang menaiki becanya agar memakai topeng hidung dan mulut. – BERNAMA