SEREMBAN – Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan merampas rokok seludup yang dianggarkan mempunyai nilai cukai sebanyak RM1.09 juta berikutan kejayaan menahan sebuah lori 3 tan di KM 265, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara dekat sini pada Khamis minggu lalu.
Pengarah Kastam Negeri, Abdullah Jaapar berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an, dipercayai pemandu lori tersebut.
“Hasil maklumat orang awam pada kira-kira pukul 5.05 petang, anggota penguatkuasaan telah menahan lori terlibat di KM 265, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara selepas 10 minit mengekorinya. Hasil pemeriksaan kita menjumpai sebanyak 10,200 kartun rokok putih jenama MODENG.
“Rokok yang disita itu bernilai RM163,200 dengan cukai dianggar berjumlah RM1.09 juta,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Katanya siasatan awal mendapati rokok tersebut tidak mempunyai setem cukai atau tanda dakwat keselamatan dan tidak mempunyai amaran kesihatan oleh Kementerian Kesihatan.
Katanya kes itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.
Sementara itu katanya, sehingga Julai tahun ini, pihaknya telah mengendali sebanyak 169 kes dengan hasil rampasan sebanyak RM4.9 juta yang melibatkan cukai berjumlah RM11.8 juta.
Katanya daripada 169 kes itu, sebanyak 43 kes dikenakan kompaun yang berjumlah RM252,116 dan 33 kes telah dituduh di mahkamah dengan jumlah denda yang dikenakan sebanyak RM162,835.
Beliau turut menyeru orang awam memberikan kerjasama kepada JKDM dengan membuat laporan di pejabat kastam berhampiran sekiranya melihat atau mengetahui aktiviti penyeludupan.
Katanya identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan dan pemberian saguhati akan dipertimbangkan bagi setiap kes yang dijayakan.
Maklumat boleh disalurkan melalui talian bebas tol 1-800-88-8855 atau menghubungi mana-mana pejabat kastam yang berdekatan. – BERNAMA