REMBAU – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merancang membuka 1,000 Pusat Multilateral di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara dalam tempoh lima tahun ini bagi memperkasakan lagi program Mengenal Pasti Bakat Sukan (MyTID).
Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin berkata sejak MyTID dilaksanakan pada 2007, sebanyak 80 Pusat Multilateral telah dibangunkan di seluruh negara.
“Daripada 80 Pusat Mulilateral itu, kita akan buat audit untuk pastikan ia beroperasi dengan baik kerana ada yang berjaya, ada yang umpama hidup segan mati tak mahu, ada yang betul-betul berjaya dan ada juga terpaksa kita tutup,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran MyTID peringkat kebangsaan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan di sini, Jumaat. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Senator Chong Sin Woon.
Khairy berkata murid-murid yang dikenal pasti mempunyai bakat sukan semulajadi akan ditempatkan di Pusat Multilateral untuk mengikuti latihan sewajarnya.
“Mereka akan mengikuti latihan yang dirancang teliti berasaskan elemen sains sukan seperti pemakanan, nutrisi, penyesuaian fizikal, psikologi, fisiologi senam dan biomekanik sukan,” katanya.
MyTID merupakan program pembangunan bakat sukan dari peringkat sekolah rendah yang dilaksanakan KBS dengan kerjasama Kemeterian Pendidikan.
Program itu bertujuan mewujudkan mekanisme berkesan dalam mengenal pasti murid berpotensi dan berbakat untuk mengikuti program pembangunan atlet berdaya saing. – BERNAMA