KUALA LUMPUR – Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abd Rahim ketika dihubungi portal berita Rangkaian TV Media Prima Berhad pagi Sabtu memberitahu bahawa 10 rakyat Malaysia terbabit dalam kejadian itu.
Tambah beliau, semua ahli keluarga mangsa di tanah air juga sudah dimaklumkan berhubung nasib saudara mereka di Makkah, Arab Saudi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak katanya, turut prihatin dan mengarahkan laporan mengenai nasib jemaah Malaysia di Makkah pada setiap setengah jam.
Abdul Azeez berkata, tiga mangsa kini dirawat masing-masing di Hospital King Abdulaziz, Hospital King Faisal dan Hospital Annur.
Enam lagi jemaah dirawat di Hospital TH Shisha manakala seorang lagi jemaah yang cedera ringan sudah pun dibenarkan balik ke maktabnya di Maktab 89.
Beliau menasihatkan ahli keluarga jemaah di tanah air agar tidak perlu risau kerana TH memiliki pakar-pakarnya untuk membantu jemaah.
Pihak TH juga dengan bantuan agensi kerajaan lain telah digerakkan ke serata tempat bagi mencari dan mendapatkan maklumat mengenai semua jemaah Malaysia.
Pihak TH juga telah dikerah bagi mencari enam jemaah Malaysia yang hilang, dipercayai mungkin sedang beriktikaf di sekitar masjid dan sebagainya.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Abdul Azeez akan mengadakan sidang media mengenai insiden itu di Kelana Jaya jam 10:30 pagi Sabtu. – BHarian Online