JAKARTA – Jika sebelum ini MYNEWSHUB ada menyiarkan kisah manusia bernama unik seperti Tuhan, Saiton (Syaitan) dan kemudian D, kini ada seorang pelajar Indonesia dengan nama yang tidak kurang uniknya.
Gadis tempatan dari Yogyakarta yang bakal berusia 18 tahun pada 7 Disember ini mencetuskan sensasi di seluruh Indonesia apabila diketahui hanya bernama Y sejak sekian lama. Memang betul, hanya satu abjad rumi sahaja!
Menurut portal popular di Indonesia, merdeka.com yang turut dipetik agensi berita Singapura, MediaCorp, Y merupakan pelajar jurusan multimedia di Sekolah Menengah Kejuruan 2, Kota Yogyakarta dekat sini.
Baca: Gadis Ini Empunya Nama Paling Pendek Di Indonesia
Malangnya, akibat memiliki nama sedemikian, dia menghadapi kesukaran untuk mendaftar nama bagi membuka akaun menerusi laman Facebook kerana namanya hanya satu huruf dan akhirnya Y terpaksa guna nama Yeye.
Ketika ditemui wartawan, gadis itu mengaku sudah menjangkakan bahawa dia akan diserbu pihak media kerana namanya yang unik. Y mengaku dia tahu namanya telah heboh di laman sosial sejak beberapa minggu ini.
“Saya sudah khuatir selepas ini ‘dikejar’ ramai wartawan,” katanya jujur ketika ditemui di sekolahnya di Yogyakarta pada Selasa. Kebetulan pada hari sama, media Indonesia menyiarkan kisah gadis bernama D.
Pelajar berusia 15 tahun dan anak bongsu daripada empat adik-beradik itu menetap di Pemalang, wilayah Jawa Tengah menjadi sensasi di serata alam kerana dipercayai memiliki nama yang mungkin terpendek di dunia.
Baca: Gempar Ada 2 Tuhan 1 Saiton Di Indonesia
Bercerita lebih lanjut, seperti juga D yang mendapat namanya oleh bapanya sendiri, Y turut mengatakan namanya itu diberikan oleh bapanya, Slamet Sugino setelah dia selamat dilahirkan ibunya pada akhir 1997 lalu.
“Banyak orang yang bertanya namanya benar cuma Y? Saya jawab, benar. Lihat ini KTP (kartu tanda penduduk = kad pengenalan) dan SIM (surat izin mengemudi = lesen memandu) juga nama saya ialah Y,” katanya.
Apabila Y bertanya kepada bapanya, mengapa memberikan nama tersebut, Slamet sering menjawab, kerana ia unik dan ia langsung tiada kena-mengena dengan apa-apa peristiwa menarik atau kepercayaan tertentu.
Bagaimanapun, bapanya kemudian berasa kesal lantas memberi nama rasmi yang lebih panjang iaitu Aiwinur Siti Diah Ayu Mega Ningrum Dwi Pangestuti Lestasi Endang Pamikasih Sri Kumala Sari Dewi Puspita Anggraini.
Baca: Nama Menu Makanan Berbaur Lucah Cetus Bantahan
“Bapa bilang (kata) cuma unik, berbeda (berlainan) daripada orang yang lain. Dulu itu waktu krisis, jadi bapa mahu beri nama yang agak unik,” jelas remaja tersebut yang kelihatan anggun bertudung litup Muslimah.
Ironi ketika Y dapat nama terpanjang mungkin di Indonesia, anak kedua daripada empat beradik ini berbeza daripada kakaknya cuma bernama Danar Winurseto, serta dua adiknya Pinastiko dan Muhammad Abdul Aziz.
Anehnya, walaupun nama gadis ini hanya Y, namun di rumah, dia sering dipanggil dengan nama Ai dan sebutan nama dua huruf rumi itu pula adalah nama panggilan mesra yang diberikan oleh ibunya sendiri.
“Orang di rumah panggil saya sebagai Ai malah sampai belajar SD (sekolah dasar = sekolah rendah) dipanggil Ai, hanya di SMP (sekolah menengah) baharulah saya dipanggil Y,” ceritanya. – Agensi/Mynewshub/HAA