KUALA LUMPUR - Semua pihak diminta tidak mempercayai khabar angin yang mengatakan ada pemimpin parti akan dipecat ketika mesyuarat ahli Majlis Tertinggi UMNO pada 9 September ini.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pelbagai versi khabar angin hanya menjadikan kekeliruan kepada semua ahli parti tunjang komponen Barisan Nasional itu.
“Saya menaruh kepercayaan bahawa semua tindak tanduk Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibuat dengan penuh bijaksana.
“Jangan dengar khabar angin. Saya sendiri dapat WhatsApp itu, setiap hari senarai berubah,” katanya semasa sidang media selepas perjumpaan tertutup Wanita UMNO bersama Najib di PWTC di sini, pada Khamis.
Pelbagai pesanan di aplikasi pesanan WhatsApp sejak beberapa hari menyatakan beberapa pemimpin parti itu akan digugurkan keahlian mereka daripada UMNO ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi pada 9 September ini.
Antaranya yang paling ‘panas’ ialah Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafiee Apdal dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Seramai 191 orang ketua bahagian Wanita UMNO dari seluruh negara hadir atau menghantar wakil mereka pada perjumpaan tersebut.
Dalam perkembangan lain, Shahrizat turut meluahkan rasa kecewanya dengan kehadiran bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke perhimpunan haram Bersih 4.0 pada Sabtu dan Ahad lepas.
“Kita berasa kecewa dengan apa yang berlaku semasa Bersih 4.0. Pihak kerajaan sudah memberi kebebasan undang undang, namun apa yang terjadi adalah menyedihkan.
“Kami Wanita UMNO tidak akan maafkan mereka yang memijak gambar pemimpin negara, tidak kira wajah Najib atau Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Wanita UMNO tidak mudah dicucuk hidung. Kita juga kecewa Dr. Mahathir hadir dalam perhimpunan itu. Kita tidak boleh biar perkara sama berlaku lagi,” jelas Shahrizat.
Pada Khamis, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Dr. Mahathir akan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berikutan ucapannya dalam perhimpunan Bersih 4.0 hujung minggu lalu.
Jelas Khalid, polis akan merakam percakapan bekas Perdana Menteri itu dalam masa terdekat. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=j_FmdI4rZI4