KOTA KINABALU – Pelaksanaan program ilmuan seperti Konvensyen Dunia Islam berupaya menyuburkan serta menyebarkan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat Islam di dunia, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
Beliau berkata, pengisian konvensyen ilmuan itu perlu dimanfaatkan dan digunakan sebaik mungkin untuk membangunkan umat Islam sekaligus menjadikan dunia Islam sebagai model terbaik kepada dunia barat.
“Makna Islam itu sendiri adalah ‘sejahtera’ yang mampu membawa kesejahteraan dan penyelesaian terhadap permasalahan umat.
“Melihat kepada sirah dan sejarah Islam, banyak iktibar dan manfaat kita peroleh daripada ilmuan Islam dan para anbiya. Mereka ini banyak menyumbang kepada kemajuan dan membawa kesejahteraan kepada umat manusia dan seluruh alam,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Dunia Islam 2015 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Ariffin Arif.
Sementara itu, Musa berkata, dunia hari ini berhadapan dengan sindrom Islamofobia dan ektremis, namun perkara sedemikian bukan penghalang untuk umat Islam berhenti menyebarkan mesej Islamik.
“Islam adalah agama rahmat dan tidak mengajar umatnya untuk menjadi ‘pelampau’ sama ada cara berfikir atau kelakuan, malahan Islam menyeru umatnya untuk mengamalkan kesederhanaan,” katanya.
Menurutnya, individu Islam perlu berfikiran rasional dan berusaha menahan diri daripada bersikap sentimen serta emosi berlebihan.
Sebanyak empat kertas kerja dibentangkan dalam Konvensyen Dunia Islam 2015 yang diadakan selama sehari dan disertai empat negara iaitu Malaysia, Filipina, Kemboja dan Indonesia. – BERNAMA