SINGAPURA – Seorang lelaki Britain yang melintas litar lumba ketika Perlumbaan Formula Satu Grand Prix Singapura berlangsung didakwa di mahkamah di sini semalam atas tuduhan membahayakan nyawa pemandu.
Menurut kertas pertuduhan, Yogvitam Pravin Dhokia, 27, didakwa membahayakan nyawa pemandu apabila melintas litar ketika perlumbaan berlangsung.
Jika disabitkan kesalahan, Dhokia boleh dihukum penjara enam bulan dan denda S$2,500 (RM7,575).
Mahkamah turut merampas pasport Dhokia dan membenarkan jaminan S$15,000 (RM45,450).
Bagaimanapun, Dhokia memberitahu mahkamah dia tiada wang untuk membayar ikat jamin.
Rakaman kamera keselamatan menunjukkan Dhokia menyusup masuk melalui pagar besi untuk ke litar lumba.
Dhokia kemudian dilihat berlari melintas litar ketika kereta pemandu Ferarri, Sebastian Vettel menghampiri kawasan itu. – AFP/myMetro Online
https://www.youtube.com/watch?v=xuiHw6Ca5j4