KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengugut untuk membunuh isterinya, tahun lepas.
B. S. Ganeson, 43, didakwa mengugut G. Vikneswary, 39, dengan mengatakan “Aku mahu bunuh kau” dalam bahasa Tamil di tempat letak kereta sebuah kondominium di Taman Seputeh, Brickfields dekat sini pada 1.30 pagi, 1 Mei 2014.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Mohamad Faizal Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Okt untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi manakala tertuduh diwakili peguam Kee Wei Lon. – BERNAMA